Tetiba aku teringat untuk menanyakan soalan ini kepada pembaca sekelian. Siapa yang sedang menjaga ibu di rumah ?
Maksudku ibu tinggal bersama kalian untuk kelangsungan hidupnya. Memang bersama kalianlah dia sehingga ke akhir hayatnya nanti , InsyaAllah.
Apakah ibumu ada sumber-sumber kewangannya sendiri seperti pencen, hasil kebun dan sebagainya?
Atau kepadamulah
segala penggantungan hidupnya. Makan pakainya, perubatannya dan segala-galanya?
Kutanyakan ini kerana suatu perkara. Perkara yang kengkadang kita terlupa. Terlalai. Ia itu memberikannya sedikit wang untuk kegunaannya bagi yang langsung tidak ada sumber kewangan dan sepenuhnya bergantung kepadamu.
Memang makan minumnya terpenuh sepenuhnya. Apa yang kita makan, maka itulah yang dia makan. Pakaiannya kaujaga. Pakaiannya berganti seperlunya. Apabila kita berpergian, diapun kita bawa. Apa yang kita lihat dia sama melihat. Apa yang kita makan sepanjang perjalanan iapun turut makan. Jadi seperti tidak perlunya lagi dia memegang duitnya sendiri. Kerana itu kita tidak pernah memberikannya duit sejak dia tinggal dengan kita seperti semasa dia masih mampu tinggal sendiri di rumah usangnya.
Kita lupa keinginannya untuk menghadiahkan kita sesuatu di hari jadi kita. Kita lupa keinginannya membelikan cucu - cucunya sesuatu di hari -hari tertentu cucu - cucunya.
Kita lupa keinginan -keinginannya yang lain yang tidak terlintas dibenak kita untuk membelikannya.
Masakan dia akan meminta,
" Mat berikan emak sedikit duit untuk membeli hadiah jadimu"
" Mat emak nak duit nak beli hadiah harijadi Akim ( nama cucunya-anak anda )"
Betapa keinginan itu ada tetapi tidak mampu disuarakan. Dia segan. Malu dan mungkin takut kerana pasangan anda tidak begitu merestuinya.
Jadi bagi yang sentiasa membekalkan sedikit wang untuk ibu walaupun kelihatannya seperti tidak perlu, syukurlah. Anda anak yang perihatin. Teruskanlah amalan mulia anda. Bagi yang terlupa dan terleka, bermulalah dengan gaji Januari anda atau sekarang. Kenapa tidak kan? Bagi yang terleka dan terlupa dan insan itu sudah tiada, susurilah kawan2 rapatnya , bersedekahlah bagi pihaknya kepada rakan rapatnya itu. Semoga terkilan anda terlepas, pahala buat ibumu tertunai dan pahala buatmu jua dengan rahmat Allah.
Itu sahaja tulisan pendek untuk hari ini.
No comments:
Post a Comment