Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 44


1 Januari 1971

Hari ini bermulalah tahun baru. Dan lagi sekali kumulakan hidupku di Bagan Serai. Kalau dulu kurasakan sepinya di daerah ini, tapi kali ini aku merasakan di sinilah jiwaku hidup damai dan tenang.

Tapi bermulanya tahun ini,  bermakna aku masih terumbang ambing lagi. Semalam perkhidmatanku sebagai Guru Sementara berakhir. Kini aku tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Aku harus berjuang terus untuk mendapatkannya. Berjaya atau tidak,  tidak dapat aku menentukannya.

Aku menanti kini. Menanti keputusan temuduga ke maktab dan menanti result HSCku. Kedua-duanya mendebarkan.

Bermulanya hari ini juga bermakna aku menjadi orang baru pula. Baru dalam tekad dan mesti baru pula dalam amalanku. Yang tidak baik harus diperbaiki.

Hari ini tadi tiada apa-apa pembaharuan lagi dalam hidupku. Tiada apa. Aku di rumah sahaja seharian. Sembahyang Jumaat tengahari dan petang membawa Anuar ( anak saudara ) berbasikal ke perhentian keretapi.

Malam juga tidak merangka perubahan. Sepi sendiri.

Apa yang tertulis di atas adalah cabutan dari buku harianku yang masih tersimpan rapi.

Sebenarnya aku mula menulis diari ( catatan  harian) dengan serius seawal 1963 dan buku catatan itu masih berada dalam simpananku. Dan cara penulisanku adalah seperti di atas. Tidak sekadar mencatatkan tarikh dan agenda secara kering.

Banyak faedahnya menulis diari ini kerana bukan sahaja dapat mengimbas kembali perkara -perkara yang berlaku,  tetapi detak rasa yang kita lalui pada waktu itu.

Perkara-perkara penting seperti bila waktu negara kita dipercepatkan, bila TV hitam putih bertukar jadi TV warna dan sebagainya utuh dalam catatan dan mudah dirujuk kembali.

Dulu membeli diari baru di hujung tahun untuk persediaan di awal tahun menjadi satu kemestian. Di pasaran pun ada pelbagai bentuk diari dengan pelbagai harga. Aku suka yang sehari sehelai muka surat. Tak suka yang sehari separuh muka surat atau suku muka surat kerana tidak dapat mencatat seperti kebiasaan aku mencatat.

Tapi mencatat diari ini biasanya cukup bersemangat di awal tahun tetapi berlompong-lompong atau tertinggal terus membawa ke hujung tahun. Kerajinan menulis diari juga amat terasa di awal usia, kian kurang dan kurang bila usia bertambah. Mungkin kerana kekangan waktu kerana tumpuan kepada kerja dan pengurusan rumah tangga. Juga kerana di akhir-akhir ini harga diari sudah semakin mahal.

Ada download aplikasi diari letronik (diari maya), tetapi kepuasan menulis dalam diari manual lebih terasa.  Menulis diari elettonik pun mengalami penyakit yang sama. Bermula dengan cukup ghairah tetapi perlahan2 terabai dan tidak terisi.

Walau bagaimana pun menulis diari mempunyai banyak faedah. Cubalah bermula bagi yang belum bermula. Anda rasa seronok membacanya kembali dan ada fakta - fakta berfaedah yang boleh dirujuk semula.
Contohnya catatanku pada 4 Januari 1971:

Lapuran Negara

Banjir mengamuk terus. Lebih dahsyat dari yang sudah-sudah. Hanya Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sahaja yang tak dilanda banjir.
Kuala Lumpur terputus sama sekali hubungannya dengan kota-kota lain. Siaran radio juga terputus.
Berpuluh ribu orang dipindahkan ke tempat yang selamat. Korban banjir meningkat. Dan banjir terus melanda.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...