Setiap kali aku melintas dari satu blok ke satu blok di Flat Seri Kota, aku terasa ngeri. Kata orang Perak yap-yap rasanya. Maksud yap-yap ialah ketakut-takutan.
Kenapa begitu?
Fobia setelah beberapa kali membaca berita orang-orang cedera ditimpa benda yang dilemparkan dari tingkat atas. Ada yang parah dan ada yang hampir parah. Ada yang melontarkan roda basikal , kerusi dan lain-lain. Pernah polis bercerita kepada aku, ada yang melontarkan CPU komputer meja.
Cuba bayangkan apa akan terjadi kalau CPU itu menimpa kepada orang yang sedang berjalan di bawah.Nauzubillah.
Kereta aku PV 2017 pernah lekok bonetnya ditimpa hampas kelapa bercampur nasi minyak dan kuah kari. Hampir RM800 aku keluar duit memperbaikinya. Lucu dan tidak percaya kan? Masakan nasi minyak , hampas kelapa dan kuah kari mampu meremukkan bonet kereta Wira yang agak keras?
Jangan bayangkan kelembutan nasi minyak, hampas kelapa dan kuah kari. Bayangkan berat bungkusannya dan dilontar dari Tingkat 21 Flat PPRT ( Perumahan Penduduk Rakyat Termiskin). Polis yang menerima repot aku menulis (menaip) dalam repot aku , kereta ditimpa barang keras. Aku bantah dan minta dibetulkan.
Ditimpa benda berat. Skru driver atau tukul besi keras, tapi tidak mungkin merenyukkan kereta aku seteruk itu. Tetapi kereta aku renyuk teruk kerana ditimpa benda berat. Tujuan polis tulis benda keras kerana hendak membantu aku membuat tuntutan kepada pihak insuran. Tetapi aku jawab balik, aku tidak mementingkan langsung tuntutan, yang aku hendak ialah pelakunya ditangkap atau penghuni flat itu diberi peringatan.
Bayangkan kalau Wira yang keras boleh renyuk begitu, bagaimana kalau menimpa kepala orang? Tumpo yob bak kata orang Perak.
Tapi malang tiada siasatan dan tangkapan dibuat. Mudah saja kalau pihak polis rajin sikit. Kalau datang tengok tempat kereta aku diletakkan, masih ada bungkusan bahan tadi yang bersepai. Dongak ke atas, dah tentulah dari salah satu tingkat rumah yang menghala ke kereta aku. Naiklah dari tingkat ke tingkat. Siasatlah siapa yang baru mengadakan kenduri kendara. Tapi kes itu senyap begitu sahaja.
Berbalik kepada perlakuan-perlakuan tidak beretika penghuni-penghuni rumah-rumah flat awam seperti melontar barang sesuka hati, kencing atau berak di dalam lift, membuang sampah sesuka hati dan lain-lain, aku selalu bertanya dan selalu bercakap kepada kawan-kawan, kenapa sosio ekonomi dan sosio budaya harus dikaitkan dengan perlakuan kita? Maksud aku kenapa kita mesti berkelakuan tidak senonoh kerana kita golongan tidak berada? Kenapa perkara-perkara begitu berlaku di perumahan awam tetapi tidak berlaku di apartment sederhana atau mewah dan di condominium-condominium. Kenapa kita membenarkan atau kita yang meletakkan pandangan serong orang kerana ekonomi kita?
Tidak bolehkah kita menjadi orang miskin atau berpendapatan rendah tetapi tinggi moral atau maruah diri? Mungkin sesiapa yang terlibat dalam.kerja-kerja atau pengajian-pengajian di bidang sosial dapat membantu aku dan rakan-rakan lain memahami situasi ini.
No comments:
Post a Comment