Hari ini aku menulis lagi hal yang berkaitan dengan masjid.
Selepas berbual lama dengan En. Kadir ( kenalan dalam salah satu whatsapp group ) tentang pelbagai topik di Pusat Komuniti, Bandar Tun Razak, sekitar pukul 10 pagi aku bergerak ke Masjid Al Najihin, " port " biasa aku.
Setelah melaksanakan itu ini termasuk " merebahkan" diri di serambi masjid, aku lihat jam hp aku menunjukkan pukul 12.15 tengahari. Teringat nak makan terlebih dahulu sebelum bermula kuliah Jumaat dan dan seterusnya kutbah dan Solat Jumaat.
Ada beberapa gerai makan di luar pagar masjid. Pelbagai jenis nasi ada dijual di situ. Ada gerai menjual nasi beriani dengan harga RM10 termasuk air sirap percuma. Ada yang jual nasi lemak RM1 bagi yang nak jimat belanja. Ada nasi dengan lauk pauk . Macam-macam ada termasuk kebab kambing.
Aku pergilah ke pintu keluar di mana selipar aku, aku letakkan. Hai dah lebuh ( hilang )?.
Berjalanlah aku ke setiap pintu di masjid itu. Langsung tak ada seliper aku. Lah dah kena pelarilah ni, fikir aku.
Mujurlah selipar itu selipar dari kedai DIY yang harganya cuma RM5.60.
Terpaksalah aku berkaki ayam ke kereta mengambil selipar " mahal" hadiah harijadi dari anak-anak aku.
Pergilah aku makan. Sambil itu hantarlah mesej melalui whatsapp group kepada yang patut tahu.
Anak aku kata barangkali mereka ingat selipar wakaf tandas. Sebenarnya selipar wakaf tandas hanya ada di pintu masuk ke tandas di ruang dalam masjid kerana tempat wuduk dan tandas berada di dalam bangunan bersekali bangunan induk. Ada tempat wuduk di dinding luar masjid tetapi berhampiran pintu yang tidak memerlukan seliper wakaf disediakan. Lagipun selipar aku tidaklah termasuk dalam kategori atau bersifat selipar wakaf.
Nak tahu ciri-ciri selipar wakaf?
- Biasanya selipar Jepun.
- Saiznya banyak yang gedabak tidak comel macam saiz selipar aku hi hi.
- Bahagian hadapannya digunting supaya tiada siapa teringin nak bawa balik.
- Ada yang diletakkan dengan pasangan berlainan warna. Hijau dengan kuning. Biru dengan merah dan lain-lain bagi mengelak kaki rembat tertarik hati. Atau ada yang diletakkan dengan pasangan kiri dengan kiri atau kanan dengan kanan. Hanya badut yang hendak memakainya untuk bersiar-siar.
Kasut ( selipar ) aku tidak termasuk dalam ciri di atas dan kalau mulut aku tidak gatal membebelkan harganya cuma RM5.60 tentu ada yang menyangka harganya belasan ke puluhan ringgit.
Selesai aku makan, aku ronda lagi setiap tempat yang ada kasut/selipar. Eh selipar aku dah ada balik di tempatnya ?
Sahehlah selipar aku dirembat sesuka hati dan dibawa dalam jangka masa yang lama dan agak jauh. Mungkin le ke gerai-gerai makanan oleh yang datang berkasut tetapi malas nak sarung semula kasut untuk ke tempat berkenaan. Atau mungkin ke tempat parking kereta. Eh kalau nak pinjampun agak-agak le, kan?
Cerita hilang kasut atau selipar ni aku ada banyak pengalaman.
Masa menuntut di UPM, kami solat di masjid dekat MARDi. Masjid yang ada sekarang belum dibina lagi. Untuk halang orang ambil seliper, aku ikatlah seliper aku dengan tali rafia sepasang. Sepasang diambil orang. Aku asing kiri dan kanan dengan kedudukan agak jauh. Pandai dia orang cari paaangannya.
Awal tahun ni aku solat di surau polis Pelangi Semenyeh. Tak ramaipun yang solat asar. Tak sampai sepuluh orang. Hilang juga. Siapa yang ambil yer?
Di Masjid Teluk Intan, lama dulu, semasa memberi salam ke kanan, nampak kelibat orang menyambar kasut berhampir tempat solat kami ( di luar masjid kerana di dalam penuh sebab solat Jumaat.) dan melarikan kasut itu. Kasut yang baru sehari dibeli oleh kawan aku sebelum hadir kursus.
Eh tak kan tak kenal selipar sendiri dengan kasut bertali ala Reebok kan? Saja datang mencuri le tu.
Oklah setakat ni saja dulu. Kalau cerita curi jam, curi hp semasa jemaah sedang tertidur dah masuk bab lain pula. Ni bab kasut / selipar je.
Sekian.
No comments:
Post a Comment