Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 38

Perhentian keretapi Kota Utara masih sunyi. Masih pagi benar ketika itu. Embun masih berkaca di hujung rerumput. Landasan masih sejuk. Ketua Pehentian yang sudah tua itu masih menguap sekali sekala. Masih mengantuk dia. Apek yang berjualan di situ baru membuka pintu gerainya satu dua.

Tapi di bangku tempat menanti sudah ada seorang penumpang mengisinya. Masih muda dia. Dalam lingkungan dua puluh tahun. Sederhana tubuh badannya. Berpakaian sederhana. Baju putih tangan ( lengan ) yang dikancingkan butangnya. Berseluar panjang warna abu-abu. Di sisinya terletak dua buah beg besar. Mahu berjalan jauh agaknya.

Aku jumpa tulisan di atas dalam diari peribadiku tahun 1970. Sebenarnya aku masih menyimpan diari - diariku sejak 1963 lagi.

Mulanya aku tertanya --tanya juga apa yang aku tulis. Tapi segera terfikir mungkin ianya intro sebuah novel atau cerpen. Selang satu muka surat, aku temui dialog perpisahan antara seorang teruna dengan seorang dara. Dialog semata - mata tanpa naratif. Sama seperti skrip drama radio atau drama pentas. Aku sedari itulah gaya aku menulis cerpen atau novel dari dulu, Iaitu bermula dengan menyusun dialog terlebih dahulu. Kemudian kukembangkan dengan menambah naratifnya.

Dari tulisan di atas, maknanya aku menulis seawal zaman remajaku. Malangnya tanpa disiplin diri dan kesungguhan seperti sekarang ini, banyak tulisanku terutamanya dalam bentuk novel terbengkalai begitu sahaja.

Akan tetapi sehabis menuntut di MPTI, bila ditempatkan di bandar kecil yang agak sepi iaitu Ayer Tawar, Perak, masa banyak kuisi dengan menulis cerpen.

Cerpen-cerpen itu kuhantar ke penerbitan. Tapi impian yang agak tinggi menyebabkan aku hanya menghantar ke majallah yang berkualiti sahaja iaitu        Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Satu kesilapan besar yang kulakukan.

Sepatutnya aku bertatih dengan menghantar karya-karya ku ke majallah popular ketika itu yang tidak sangat mementingkan mutu. Kalau itu kulakukan, aku yakin aku sudah lama bertapak di media cetak.

Dengan menghantar karya-karya aku ke majallah yang mementingkan kualiti, aku harus bersaing dengan penulis-penulis tersohor atau penulis - penulis yang sudah ada nama. Risiko tulisan aku ditolak memang sangat tinggi. Namun aku beruntung juga kerana penulis tersohor Allahyarham Abdullah Husain sudi melayan kerenah aku.

Setiap cerpen yang aku hantar, aku minta allahyarham  teliti, kalau bagus dan layak disiarkan aku berbesar hati, kalau ditolak aku masih boleh berlapang dada dan mohon dikembalikan dengan komen membina. Aku sediakan stem untuk Allahyarham mengepos kembali tulisan itu kepada aku.

Allahyarham sudi melayan kerenah aku dan banyaklah cerpen aku yang dikembalikan dengan komen-komen membina.

Allahyarham mengendalikan ruangan Sarinada Kreatif untuk penulis-penulis muda seperti aku  ( masa tu le muda hi hi ).

Akhirnya tersiar juga cerpen aku Puncak Jaya dalam Dewan Sastera 1975.

Antara lain komen Allahyarham, dia menyatakan kekagumannya atas kegigihan aku ketika itu.
Sayangnya selepas itu kerana memburu majallah berkualiti, aku sukar menembusinya dan mungkin itu sedikit sebanyak menjadi penyebab saya terhenti selain kesibukan tugas dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Ketika menjadi panel penulisan buku di Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar 1993/94,  keraplah aku datang ke Dewan Bahasa. Adalah  dua tiga kali aku bertembung dengan Allahyarham Abdulah Husain dan sempat bersalaman namun tidak sempat untuk mengenalkan diri " Sayalah Yahya Md Yusof yang tuan layan kerenahnya dulu".

Terkilan jugalah aku  tak sempat berbuat demikian kerana  aku sering bertembung dengan Allahyarham ketika dia dalam keadaan sibuk beriringan dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

Aku  juga sebenarnya kenal agak baik dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Bermula ketika bertandang ke rumahnya di Changkat Jering mencari kawan sekelas aku ketika di Sekolah Alam Shah yang kebetulan anak saudara allahyarham.Pernah berjalan dalam satu van dengan Allahyarham bersama A. Samad Said mengelilingi Pulau Pangkor semasa Temasya Bacaan Puisi diadakan di Pulau Pangkor.

Kalau jumpa di Lapangan Terbang juga, Allahyarham tegur aku dahulu.

Suatu hari terserempak di Lapangan Terbang, aku sedang asyik membaca sebuah buku. Dia menegurku  dan menyatakan, bagus buku yang aku baca tu. Saya dah baca katanya.

Aku lupa tajuk buku yang aku baca dan lupa samada ia buku pengurusan atau buku motivasi tapi yang aku ingat buku itu dalam Bahasa Inggeris .

Akhir sekali aku bertemu Allahyarham Jins Shamsuddin dalam sesi penayangan filem-filem lama ( sebulan sekali ) di Panggung Colosium. Filem Tiada Esok Bagimu ditayangkan hari itu. Malang masa itu Allahyarham sudah tidak mengenali aku seperti biasa Allahyarham kenali aku. Mungkin masa itu penyakit pelupa yang dihidapi sudah bermula.

Begitulah permulaan aku rajin menulis, bersua dan berkenalan dengan dengan Allahyarham Abdullah Husain dan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Tapi sebenarnya minat dan bakat menulis ini sudah bermula di sekolah menengah rendah lagi. Pernah dua tiga cerpen jiwang karat aku  terlepas ke tangan guru bahasaku. Malu juga hi hi.

Sekian dulu.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...