1970 di perpustakaan sebuah sekolah di utara Perak:
" Cikgu baru tu . " Bisik seorang gadis Tingkatan 4 kepada rakannya pelajar Tingkatan 4 juga. Bisikannya dapat didengari oleh guru muda itu.
" Besok larilah tu." bisik balas rakannya, sambil menjeling di ekor mata kepada guru muda berstatus guru sementara yang sedang membelek-belek buku.
" Aku akan buktikan yang aku tidak akan lari" bisik hati guru sementara itu. Dia memang jenis yang suka menyahut cabaran.
Saya tahu bisik hati guru sementara muda itu kerana dia ialah saya. Saya dilantik sebagai guru sementara di sekolah berkenaan menggantikan guru sementara yang hanya sempat mengajar selama sehari sahaja.
Kononnya guru muda itu masuk dalam kelas, mengeletar dan tak boleh hendak mengajar. Mungkin rasa rendah dirinya begitu tinggi.
Peristiwa itulah yang menyebabkan dua gadis Tingkatan 4 itu menyangka yang saya akan lari juga seperti guru itu. Syukur Alhamdulillah saya tidak lari malahan bertugas hingga ke hujung tahun dan menjadi kesayangan anak-anak murid saya.
Saya tahu mereka sayang saya kerana pernah saya lambat ke sekolah dan mereka ternanti-nanti dan tertanya - tanya kerana sehari sebelum itu saya bayangkan saya akan berhenti. Mereka menyangkakan kelewatan saya datang itu betul-betul kerana saya sudah berhenti. Sebenarnya saya acah saja.
Saya memang penuntut Sains Tulen ketika di Sekolah Alam Shah. Tetapi minat dan pencapaian saya tidak seberapa. Betul saya pemegang sijil SPM Pangkat 1 ketika memohon jadi guru sementara itu, tetapi mereka ambil saya kerana mereka memerlukan guru Sains Tulen untuk mengajar Tingkatan 4 Sains, walaupun dalam peperiksaan lepas itu saya cuma pangkat 3. Pangkat 1 itu saya perolehi dengan belajar sendiri lebih kurang 3 bulan .
Memanglah agak sukar menyediakan diri untuk menjadi guru sains yang baik. Akan tetapi saya atasi dengan banyak membaca dan banyak merujuk. Selain bersedia dengan jawapan bagi soalan-soalan yang akan saya ajar hari itu, saya juga bersedia dengan jawapan-jawapan sekiranya ada soalan di luar skop tapi masih berkaitan.
Begitulah saya lakukan sehingga saya mampu menyempurakan tugas saya selama 6 bulan sebelum saya dapat memasuki Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim tahun 1971/1972.
Mungkin pengalaman mengajar kelas tuisyen matematik secara percuma kepada anak kampung dan pengalaman mengajar sebagai guru sementara itu menjadi aset berguna kepada saya untuk menjadi guru terlatih yang berkesan.
Ramai juga bekas murid yang saya ajar sebagai guru sementara di sekolah utara perak itu yang berjaya. Salah seorang sempat menjadi Pengarah Pendidikan Perak tak lama lepas saya bersara.
Itulah sekelumit noltagia di awal penglibatan saya sebagai pendidik.
No comments:
Post a Comment