Kalau asyik menulis tentang PV 2017, orang akan kata saya terlalu jiwang dan terlalu hanyut dalam noltagia. Orang pun akan bosan dan momentum pembacaan jadi terganggu.
Jadi saya tidak akan menulis tentang PV 2017 kali ini. Saya hanya akan sentuh kalau ada perkembangan baru atau ada yang PM tepi bertanya. Tapi saya hendak bercakap tentang kereta juga.
Pertamanya , orang-orang sezaman saya hanya terfikir atau membeli kereta selepas 4 - 5 tahun bekerja. Ini mungkin kerana pandai memikir antara kehendak dengan keperluan, pendapatan yang tidak mencukupi untuk menabung bagi menyediakan deposit, tidak ada lebihan gaji untuk bayaran ansuran, dan kesukaran mendapatkan kelulusan pinjaman.
Berbeza dengan sekarang, baru sebulan bekerja dan masih belum masuk ke skim tetap dan berpencen dah mula bercakap tentang membeli kereta. Mungkin memang ada keperluan tetapi rasanya lebih banyak kerana kehendak.
Kalau keperluan menjadi penyebab, kemudahan pengangkutan awam sekarang jauh lebih mudah berbanding dahulu. Kalau tidak ada pengangkutan awam, kenapa tidak bermula dengan motosikal sahaja atau berbasikal.
Saya berulang alik ke sekolah tempat kerja saya dengan basikal mini saja selama 5 tahun.
Mungkin juga kerana mudahnya membeli kereta sekarang dengan zero down payment.
Mungkin sekarang kebanyakan anak muda yang baru bekerja tinggal di rumah ibubapa berbanding dengan zaman saya dulu, bekerja di tempat orang dengan segala perbelanjaan ditanggung sendiri.
Mungkin juga kerana tempoh ansuran yang panjang dan jumlah bayaran balik bulanan yang rendah berbanding zaman saya di mana tempoh ansurannya pendek, jadi ansuran bulanannya tinggi.
Seperkara lagi, orang dulu sebuah kereta dipakai dalam jangka yang panjang. Kebanyakannya lebih dari 10 tahun kerana itu sepanjang usia bekerja dari awal hingga pencen saya cuma memakai 3 buah kereta. Tidak seperti sekarang dalam tempoh 10 tahun bekerjapun ada yang sudah bertukar 2-3 kereta. Yang ini keperluan atau kehendak?
Rasanya lebih kepada kehendak.
Tulisan ini tidaklah menyatakan rasa cemburu dengan kemampuan anak muda sekarang ( betul ke mampu? ) tetapi lebih kepada mendidik.
Kalau lambat membeli kereta, banyak duit boleh dijimatkan dan dengan itu persediaan belanja kahwin tidak sangat menjadi masalah. Pun dari bertukar-tukar kereta, beli rumah dan simpan sebagai aset bukankah lebih bagus?
Kereta melalui susut nilai yang tinggi sedangkan rumah harganya sentiasa naik dan boleh dijadikan pelaburan menambah aset baru.
Mungkin tulisan ini akan mengundang kontravesi kerana ada pro dan kontranya. Ada yang setuju dan ada yang tak setuju, tapi saya cuma melontarkan pendapat dari pemerhatian.
Itu saja kali ini.
No comments:
Post a Comment