Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 18

Kadang-kadang kita kena juga berkongsi sesuatu yang begitu peribadi dengan orang lain,  jika dengan perkongsian itu dapat meringankan pemikiran kita dan dengan perkongsian itu orang dapat memahami sesuatu tentang kita.

Malam semalam kereta kesayangan aku , Wira Aeroback 1.5 kelabu dengan no pendaftaran PV 2017  musnah terbakar. Orang lain yang didendami , aku yang tiada kaitan apa-apa menerima musibah.

Api dari dua buah motosikal yang marak dibakar di belakang kereta aku di bawah apartment turut menyambar kereta aku.

Orang ramai yang berusaha membantu hanya dapat memadamkan api setelah bahagian belakang dan dalam kereta musnah sama sekali. Dua buah kereta bomba sampai ketika semuanya sudah selesai.

Beban rasa yang aku tanggung tiada seorang pun yang benar-benar faham. Mungkin ada yang faham tetapi ramai yang tak faham langsung dan ada juga yang tidak hiraupun. Dalam usia 70 tahun, tidak setitik pun air mata aku mengalir ketika itu tetapi di dalam hati ini,  ianya begitu menyiksakan dan hanya Allah yang tahu.

Baru dalam bulan ni aku habiskan RM2k untuk membaikpulihnya. Baru bercadang minggu ini untuk aku ambil insuran, bawa ke Puspakom dan perbaharui cukai jalan. Namun hasrat aku punah sama sekali.

Apa ada pada Wira Aeroback buruk model 2002 berbanding dengan kereta-kereta baru yang lain, apatah lagi kalau dibandingkan dengan Lamboghini atau Ferrari?.
Begitu di mata orang lain.

Kereta pertama aku  ialah Colt Lancer. Akupun cuma ada 3 buah kereta sahaja sepanjang usia aku kerana aku bukanlah jenis yang suka bertukar-bertukar kereta, atau ekonomi aku tidak mengizinkan aku berbuat seperti orang lain yang baru 5-10 tahun bekerja dah bertukar 4 -5 buah kereta.

Colt Lancer yang aku beli pada tahun 1977 aku pakai 13 tahun sebelum aku bertukar ke kereta Proton Saga yang aku beli pada tahun 1990. Kereta inipun aku pakai 13 tahun sebelum aku beli Proton Wira Aeroback yang terbakar ini pada tahun 2003.

Kenapa aku sayang kereta ni? Sebenarnya ianya kesinambungan hayat plat PV 2017. Aku tak rela legasinya berakhir di sini. Hakikatnya aku menyayangi PV 2017, bukan sangat keretanya.

Ada apa dengan PV 2017? Kerana nombor ini selalu naik dalam cabutan nombor ekor? Hakikatnya memang no ini selalu naik ikut kata orang kerana seumur hidup aku tidak pernah terlibat dengan judi. Jadi kenapa aku sayang no ni?

Ketika aku menggunakan kereta Colt Lancer, aku bergiat dalam perniagaan MLM. Barang - barang  yang kemas dan wangi aku isikan di kereta ini di dalam booth hatta di tempat duduk.

Ketika aku belajar tanpa gaji di UPM, kereta ini kuisikan dengan tandan -tandan pisang, kulit pisang, tumpahan bancuhan tepung , tumpahan minyak masak dan lain-lain yang lahak dan beraroma sebaliknya berbanding barangan MLM tadi.

Ini adalah kerana belajar tanpa gaji, aku terpaksa berjualan goreng pisang, cucur udang dan lain-lain untuk kesinambungan hidup.

Kereta Colt Lancer dengan plat PV 2017 ini jugalah aku lanyak berulang alik dari UPM di Serdang ke Taman Dindings di Ayer Tawar di Manjong. Siapa pernah memandu selaju 90 bsj ( bukan kmj yer!) dengan tayar yang sudah keluar dawai-dawainya? Aku pernah  dan selalu selagi tayar tu tidak pecah. Hingga kawan yang selalu menumpang aku mengatakan ngerinya naik kereta aku. Orang lain tayar ok lagi pun dah kata perlu ganti. Aku bawa yang dah keluar dawai.

Sepanjang belajar di UPM tanpa gaji dengan seorang isteri dan 3 anak yang kutanggung, aku tak mampu jual kereta ini kerana memikirkan dengan apa nak beli kereta lain selepas habis belajar nanti? Lalu kawan se kelas kata aku student kaya kerana mampu berkereta.

Tak ada seorang yang tahu aku pernah mencari duit-duit syiling kalau ada yang terjatuh dalam kereta itu untuk membeli sebuku roti untuk makan tengahari kerana aku lansung tidak berduit ketika itu.

Mengenangkan jasa kereta ini yang begitu banyak dalam kehidupan aku,  aku bertekat untuk tidak menjualnya kalau aku mampu beli kereta baru tanpa menjualnya untuk duit pendahuluan.

Kalau tidak mampu, paling tidak aku akan kekalkan PV 2017 di tangan aku sampai bila-bila.

Begitulah no PV 2017 berpindah dari Colt Lancer ke Proton Saga dan akhirnya ke Wira Aeroback yang akhirnya musnah terbakar malam semalam.

Walau bagaimanapun di penghujung usia ini, aku masih bertekat untuk mengekalkannya dengan cara apapun. Biar orang tidak memahami aku dan tidak bersetuju dengan aku, tetapi aku tahu dengan pasti apa yang aku mahu dan apa yang aku nak buat. Tapi hingga hari hasratku belum tercapai.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...