Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 14

Rantaian aliran pemikiran kadang - kadang  bertalian dari satu momen ke satu momen, dari satu imej ke satu imej,  dari satu zaman ke satu zaman dan sebagainya tanpa kita rancang untuk memikirkannya.

Begitu uniknya minda sedar dan minda bawah sedar kita. Dan tentunya betapa hebatnya pencipta kita iaitu Allah Subhanawataala.

Bermula dengan melihat lukisan - lukisan  yang dihasilkan oleh seorang pelukis di dalam sebuah Rancangan TV, aku teringat bagaimana bakat melukisku kuabaikan begitu sahaja sekian lama. Dulu aku banyak menghasilkan lukisan potrait dan pemandangan.

Dari situ melompat pula ingatanku ke kembara solo yang ingin kulakukan , kerana salah satu aktiviti yang aku rancang untuk melakukannya sepanjang kembara soloku ialah mengabadikan tempat-tempat yang aku kunjungi dalam bentuk tulisan, gambar foto dan juga lukisan.

Kembara solo yang aku hasratkan ialah berkereta seorang diri secara santai tanpa terburu - buru mengejar waktu. Aku berhasrat kembara ke serata tempat di seluruh Semenanjung Malaysia sambil mengunjungi rakan-rakan lama .

Rakan - rakan lama aku ramai di serata Semenanjung ini. Rakan semasa belajar di Sekolah Alam Shah, rakan semasa di MPTI, rakan semasa di UPM, rakan - rakan sejawatan dari setiap negeri di Semenanjung semasa berkhidmat di JPN dan yang terkini rakan-rakan semaktab masa di Tanah Suci.

Semoga ada rakan yang sudi menerima aku di setiap kunjungan untuk bermalam. Kalau tidak ada , aku tidur sahaja di masjid atau dalam kereta dekat balai polis.

Bila mengimbau kenangan dengan kawan-kawan, teringat kawan-kawan yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bertemu, teringat juga kawan lama yang rapat dulunya tetapi tidak mahu membalas sms dan menjawab call walaupun aku berada cuma beberapa kilometer sahaja dari kediamannya dan berhasrat sangat untuk bertemu.

Kata kawanku yang lain, isteri kawan yang seorang ini tidak suka kawanku dikunjungi kengkawan. Kalau ya pun rasanya boleh saja datang ke chalet di mana aku menginap. Memang sedih dan kecewa tetapi hati sejuk dan terhibur bila kawan-kawan lain berkata " Tak apa Pak Ya, kami ada".

Tentang panggilan " Pak Ya" ni aku tidak pasti siapa yang memulakannya dan bila? Tapi kalau tidak silap dimulakan oleh kawan-kawan Kaki Tangan Sumber dan rakan-rakan di Jabatan Pendidikan semasa aku mula menjadi Kaki Tangan Sumber sebelum aku melangkah ke Jabatan sebagai seorang pegawai.

Di Jabatan aku ada 4 orang yang dipanggil Pak Ya masa itu iaitu Zakaria Hassan, Zakaria Ismail, aku sendiri Yahya Md Yusof dan seorang lagi Yahya Abdul Rahman.

Panggilan itu melekat pula sampai sekarang walaupun member -member ini baru mengenaliku.

Tidak kesahlah asal jangan panggil Guru Yahya. Watak ketua Ajaran sesat dalam sebuah drama TV.

Sebut tentang drama TV, aku teringat drama *Kabus Di Rantau , drama hitam putih, lakunan Khalid Salleh ( Allahyarham) bersama Azean Irdayati ( Allahyarhamah).

Drama ini melekat kuat dalam ingatanku kerana lakunan Khalid Salleh buat pertama kalinya di layar TV begitu hidup selaku seorang buta. Gerak gerinya begitu meyakinkan. Begitu perfect sebagai seorang buta. Hingga kita menyangka bahawa dia memang seorang buta yang diambil untuk menghidupkan  watak Adam itu.

Aku juga sukar melupakan drama itu kerana digarap dengan penuh berseni.

Begitulah rentetan pemikiran. Ianya tidak berhenti dan terus melompat dan bertalian seperti aku sebut di atas tadi.

Aku tak mahu memanjangkannya lagi kerana tidak ada penyudahnya. Aku cuma mahu memaparkan begitulah arus pemikiran kita.

Selamat menyingkap memori silam.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...