Terasa terlalu lama tidak menulis. Bukan kerana tiada bahan yang hendak ditulis, tetapi lebih kepada keterbatasan kesihatan. Sepanjang tempoh menyepi itu, aku tidak sihat dan terpaksa pula banyak menerima " drip " sama ada di tangan kanan atau di tangan kiri yg memberi kesukaran yang sama untuk menulis panjang menggunakan handphone.
Pagi ini baru aku berasa segar kembali dan sekitar tengahari tadi aku bebas dari saluran drip yang mengongkong pergerakan aku dan memberikan semula kebebasan aku untuk bergerak . Amat terasa benarnya kata-kata harta yang paling berharga ialah kesihatan yang sempurna.
Hampir sebulan aku di Wad 6G Bilik Pengasingan 10 ini. Satu jangkamasa yang panjang untuk menetap di dalam bilik 8 x 10 kaki tanpa melihat dunia luar. Seperti kata anak kedua aku, kalau pergi melancong pun selepas tempoh melebihi 5 hari sudah terasa rindu untuk balik ke rumah kediaman kita sendiri ( kecuali dari tempat ke tempat, mungkin perasaan kita agak lain ). Inikan pula hampir sebulan terkurung ( betul-betul terkurung ) seperti orang salah di penjara atau lokap. Bezanya aku bukan pesalah dan layanan dan perhatian yang diberikan amat baik.
Ternyata kesihatan yang baik dan kebebasan bergerak ke sana ke sini suatu nikmat yang tidak ternilai. Seperti ketika aku sihat dan semasa masih memegang jawatan dulu. Bukan sahaja aku mampu memandu jauh untuk menghadiri mesyuarat, perbengkelan, kursus dan sebagainya, tetapi aku sangat "enjoy"dengan kerjaya dan aktiviti yang kulakukan.
Aku amat suka memandu. Kerana itu sejauh manapun aku bermesyuarat atau berbengkel, aku tetap memandu sementara rakan-rakan yang lain naik kapal terbang. Maksudnya selagi di Semenanjung Malaysialah.
Aku memang minat memandu dan bermain dengan " gear ". Sebab itu ketika membeli Wira Aeroback , kereta aku yang terakhir, yang terbakar tempoh hari, yang aku beli tahun awal 2003, sengaja aku cari yang manual sedangkan masa itu banyak kereta yang bergear otomatik.
Seronok bermain dengan gear yang membolehkan aku meninggalkan kereta lain di belakang ketika lampu merah bertukar hijau di lampu isyarat.
Kemahiran bermain dengan gear ketika menyusuri jalan - jalan berliku seperti Hingway Karak atau jalan naik ke Cameron Highland , pun jalan naik ke Genting Highland melalui Batang Kali amat perlu.
Kemahiran bermain dengan gear menyeronokkan ketika memotong kenderaan lain. Tapi aku bukanlah kaki berlumba. Aku memotong kalau kelajuan kenderaan di hadapanku di bawah kelajuan maksima aku? Berapa kelajuan maksima aku? Ikut arahan lalu lintas. Kalau 90 kmj , 90 kmjlah. Kalau 110 kmj, 110 kmjlah. Tapi kalau berubah dari 90 kmj ke 110 kmj, pedal minyak akan ditekan untuk mencapai 110 itu berdasarkan kemampuan enjin. Aku jarang sangat memandu melebihi 110 kmj. Kerana itu aku tidak disaman kerana memecut tetapi ada kena sama melanggari had laju 50 kmj. Susah beb nak kawal kelajuan 50 kmj. Slow bebeno kata orang Perak.
Seronok memandu kereta manual ini. Kita ada kerja. Memandu kereta otomatik macam pekerja separuh masa. Sakitnya cuma bila berlaku kesesakan lalu lintas le. Jenuh yob, sampai rasa bengkak kaki menekan clutch.
Banyak lagi yang nak ditulis terutamanya pengalaman memandu. Tetapi ingat setakat ini dulu tulisanku sementara menunggu Isya. Lepas Isya kata nurse nak kena bagi drip lagi. Terhentilah menulis nanti.
No comments:
Post a Comment