Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 100

Tulisan yang ke 100 ini sepatutnya tulisan yang terbaik dengan persoalan yang teristimewa. Akan tetapi ada pembaca yang memohon saya menulis sesuatu tentang hukuman. Lalu saya teringat sebuah cerita dalam buku dongeng-dongeng antarabangsa Bersama Sang Suria. Buku berkulit tebal yang saya terima sebagai hadiah pelajar cemerlang Tingkatan 1. Sayangnya buku itu sudah tiada lagi dalam simpanan saya.

Cerita berkenaan bertajuk Hukuman Karakos.

Karakos ini ialah seorang Perdana Menteri Mesir pada suatu ketika dahulu. Hukuman Karakos menceritakan tentang hukuman yang diputuskannya dalam satu kes dan terus menjadi sebutan selepas peristiwa itu.

Suatu malam seorang Pencuri atau lebih tepat ahli pecah rumah memanjat tingkap sebuah rumah untuk tujuan memecah masuk dan melakukan pencurian. Malangnya ketika dia hendak mengumpil daun tingkap rumah berkenaan, tingkap itu terkopak sendiri dan dia jatuh ke tanah dan tangannya patah.

Tidak puas hati dengan apa yang dia alami, dia pergi mengadu kepada Karakos.

Aduannya:

Saya hendak membuat aduan. Ketika saya hendak mengumpil tingkap rumah orang itu, tingkapnya tidak kukuh menyebabkan saya jatuh dan tangan saya patah. Saya minta keadilan.

Tidak dijangka, Karakos meminta pengawal memanggil Tuan Rumah
untuk disoal siasat dan didakwa. Tentulah tuan rumah menjadi hairan,  "Bila pulak pencuri ada hak menuntut keadilan? " Namun ianya satu perintah dan diapun mengadap.

Tuduhan Karakos:

Pencuri ini jatuh dan patah tangannya ketika ingin mengumpil rumah kamu. Ini adalah kerana tingkap rumah kamu tidak kukuh. Apa jawab kamu?

Tuan Rumah :

( Tahu tidak guna bertekak dengan Karakos diktator yang rasa dia sahaja yang betul)

Saya telah memberikan upah yang cukup kepada Tukang Rumah. Jadi jika tingkap itu tidak kukuh, dan pencuri ini jatuh ketika mengumpilnya,  bukanlah salah saya. Salah tukang rumahlah.

Karakos :

Kalau begitu, pengawal pergi panggil Tukang Rumah.

Akur dengan perintah Karakos, Tukang Rumah pun dipanggil.

Tuduhan Karakos:

Pencuri ini jatuh ketika ingin mengumpil tingkap rumah orang ini. Ini adalah kerana tingkap itu dibuat dengan tidak kukuh, sedang tuan rumah ini sudah membayar secukupnya upah kamu. Apa jawab kamu?

Tukang Rumah juga hairan dengan apa yang berlaku tetapi Karakos bukanlah orang yang boleh dibawa berbincang secara lojik. Kata Karakos adalah satu hukum.

Tukang Rumah:

Saya akui saya telah dibayar dengan secukupnya. Tetapi ketika saya hendak memaku tingkap itu, saya terpandang seorang wanita yang sangat cantik dengan baju merah menyerlahnya yang begitu mempersonakan, sehingga ketukan  saya lari dari sasaran dan paku tidak masuk elok menjadikan tingkap itu tidak kukuh. Jadi yang salah sebenarnya ialah Perempuan Cantik itu.

Setuju dengan alasan itu, Karakos memerintahkan pula pengawal menangkap Perempuan Cantik itu.

Tuduhan Karakos:

Pencuri ini terjatuh dan patah tangannya ketika mengumpil rumah orang ini kerana tingkap rumahnya tidak kukuh. Tingkap rumah itu tidak kukuh kerana ketika mengatuk paku, Tukang Rumah ini terpersona dengan kecantikan kamu dan pakaian merah menyala yang kamu pakai. Jadi kamulah yang bersalah dalam soal ini. Apa jawab kamu?

Seperti orang lain Perempuan Cantik ini juga hairan dengan apa yang sedang berlaku. Tapi Karakos adalah Karakos. Siapa berani bersuara mempertikaikannya.

Jawapan Perempuan  Cantik:

Kecantikan saya adalah anugerah Allah, tetapi baju merah menyala yang saya pakai, Tukang Celup lah yang mencelupnya.

Lalu diarahkan pulalah Tukang Celup mengadap.

Pertuduhan diulang buat pendengaran Tukang Celup. Apa yang dapat dijawab oleh Tukang Celup kerana memang dialah yang mencelup pakaian wanita itu. Lalu dia dijatuhkan hukuman digantung dipintu penjara. Lalu pengawal membawanya ke penjara.

Tidak lama kemudian pengawal berlari datang mengadap.

Pengawal:

Maaf Tuan Karakos, hukuman tidak dapat dijalankan.

KarakosKenapa pulak?

PengawalTukang Celup ini tinggi Tuan, melepasi pintu penjara.

Karakos :  Kalau begitu, tangkap Tukang Celup Yang Rendah.

Dan Tukang Celup Yang Rendah pun dihukum gantung di pintu penjara. Begitulah " keadilan " ditegakkan oleh Karakos di zaman pemerintahannya.
Dan sejak itu kalau ada hukuman yang tidak masuk akal, orang akan menyebut macam hukuman Karakos.

Sekian untuk hiburan dan menungan.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...