Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 10

Setiap tahun, selama tiga ke empat tahun, meja kerjaku didatangi borang permohonan mendapatkan pingat dari DYMM Yang Di Pertuan  Agong atau DYMM Sultan. Tapi kubiarkan tidak berisi.

Dua pertanyaan berligar di kepalaku. Apakah dengan menjalankan tugas yang menjadi tanggungjawab aku ,aku layak menerima pingat?

Kedua tidakkah pingat sepatutnya dianugerahkan bukan dipohon?

Bila sekali lagi aku diberikan borang dan seperti didesak untuk mengisinya, maka akupun mengisinya.

Tahu apa yang sepatutnya kita tulis dalam borang permohonan itu?
Menuliskan alasan -alasan kenapa kita layak diberikan pingat.

Maka bagai nak rak le aku puji diri aku sendiri. Aku begitu aku begini. Aku buat itu aku buat ini. Aku capai itu dan aku capai ini.

Walau bagaimanapun apa yang aku tulis itu memang apa  yang aku buat, apa yang aku capai dan apa yang aku dapat , tidak ada penambahan supaya aku kelihatan hebat. Tapi aku masih merasakan  macam aku  puji diriku sendiri. Macam masuk bakul angkat sendirilah.

Siap kuisi , kuhantarkanlah ke pegawai yang menguruskannya. Pada tahun itu tersenarailah aku sebagai penerima pingat " kecil " dari DYMM Yang Di Pertuan Agong.

Di sini aku tidak memperkecilkan atau mempersoalkan penganurahan itu.   Ianya sesuatu yang bermakna bagi menghargai khidmat dan jasa seseorang terutamanya yang menyumbang dalam jangkamasa yang panjang .

Aku kurang setuju anugerah diberikan hanya kerana sesuatu event yang orang itu terlibat dan keterlibatannya pun hanya kerana kepentingan namanya sendiri. 

Jadi aku berbesar hati dan bersyukur jugalah menerima pingat berkenaan.

Persoalan aku ialah cara pencalonan dan menyediakan borang pencalonan tersebut.

Aku pernah kemukakan perkara ini secara santai kepada Pengarah Jabatan aku yang agak baik dengan aku. Aku kata , sepatutnya pencalonan dan pengisian borang permohonan dibuat oleh pihak atasan.

Katakan pihak atasan nampak Si A layak diberikan pingat. Maka pihak atasanlah yang mengisikan borang permohonan itu dan menyenaraikan segala bentuk kerja, pencapaian dan sebagainya bagi Si A itu tanpa Si A sendiri mengetahui dirinya dicalon dan diwar-warkan kelayakannya.

Menung sambil memegang kepala Pengarah aku ketika itu. Mungkin dia fikir, betul juga cakap Si Yahya ni. Mungkin juga ketika itu dia juga dalam proses mengisi borang memuji dirinya untuk mendapatkan gelaran Dato'.

Maaf sekiranya cara pencalonan yang aku ceritakan, yang aku lalui tidak sama dengan cara di tempat lain. Mungkin tempat lain ikut yang macam aku sarankan. Aku tak pasti.

Setelah menerima pingat berkenaan, Ketua Kerani aku mencadangkan papan tanda bilik aku ditukar baru bagi menuliskan pingat yang aku terima di hujung namaku. Aku menolak.
Begitu juga untuk menuliskannya di hujung nama aku pada surat-surat yang aku tandatangani.

Aku bukan tidak menghargai atau memperkecilkan pingat yang aku terima, malahan dalam diri aku ada juga sedikit rasa bangga. Tetapi aku merasakan tidaklah perlu ditonjolkan.

Jadi sampai aku bersara, aku tidak pernah menuliskan secara rasmi pingat itu di hujung namaku. Hanya selepas aku bersara dan membuat bisnes kecil, barulah aku menuliskannya dalam kad bisnes aku. Eh ada juga rupanya imfak kecilnya.

Selepas aku terima pingat "kecil" dari Agong, datang lagi borang untuk pingat negeri. Kali ini aku isilah juga borang tu.

Aku pujilah lagi diri aku. Setelah itu aku hantar ke pihak yang berkenaan. Akan tetapi diam begitu sahaja. Kemudian aku dapat tahu borang aku tidak dihantar kerana pegawai yg berkenaan nak pegawai lain yang rapat dengannya dapat.

Eh macam itupun ada?

Itulah saja buat renungan kali ini.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...