Tahun 2008 - 2009 selama setahun dari bulan puasa ke bulan puasa aku bekerja dengan syarikat kecil di Bayan Baru yang berpejabat di Kampong Jawa.
Selain dari gaji bulanan yang tidak begitu besar ( mengikut anak2 aku tidak setimpal dengan pengalaman dan kebolehan aku ) , aku disediakan sebuah rumah apartment 3 bilik di Queens Bay .
Aku terima tawaran kerja ini kerana minat aku terhadap tugas pendidikan yang aku rasa aku boleh menyumbang di samping ada keperluan untuk aku menambah pendapatan selain dari pencen sementelah usaha aku membuka dan menjalankan kedai grafik komputer yang kunamakan Instant Graphic Enterprise menghadapi kegagalan dan duit aku banyak habis kerananya.
Sebenarnya tidaklah juga banyak tambahan pendapatan yang aku dapat kerana sebahagiannya aku gunakan untuk ulang - alik Pulau Pinang Ipoh dan Pulau Pinang Kuala Lumpur. Penjimatan sepatutnya boleh saja dilakukan sekiranya isteri ikut berpindah kerana telah disediakan apartment 3 bilik. Tapi itu tidak terjadi dan aku tinggal bujang di apartment tersebut.
Aku sebenarnya tidaklah hendak bercerita tentang kerjaya aku itu tetapi mengingati Pulau Pinang dan Kg. Jawa, aku teringat kepada roti canai banjir yang aku makan hampir setiap hari di sebuah restoran mamak di Kg. Jawa.
Rindu betul nak makan roti canai banjir ini yang tidak mungkin dapat di tempat lain. Kalau makan roti canai banjir di tempat lain, katakan sekitar Kuala Lumpur ini, hanyalah roti canai yang dicarik dan dilimpahi kuah, sama ada kuah dal atau kuah kari ayam atau ikan. Di sinilah bezanya.
Kuahnya. Aku belum bertemu di tempat lain yang kuahnya terdapat pelbagai bahan yang diadun begitu sedap. Bahan yang terdapat di dalamnya termasuklah terung yang dimasak hingga lisut, daun karipulai, biji sawi, tamato dan juga carrot yang menimbulkan suatu rasa yang enak dan aroma yang merindukan.
Nantilah kalau dengan izin Allah aku sehat kembali seperti biasa, ingin juga bertandang semula ke Kg. Jawa dan Bayan Baru ini untuk menikmati roti canai banjir.
Kalau hari Jumaat di Perkarangan Masjid Bayan Baru, ada orang berjual nasi lemak yang cuma seringgit sebungkus dan air minuman yang cuma dijual dengan harga 50 sen segelas. Macam berniaga sambil bersedekah. Jimatlah belanja aku untuk makan tengahari kalau hari Jumaat.
Aku juga teringat Pasar Ramadhan di Bayan Baru ini tetapi aku lupa di mana letaknya. Pasar Ramadhan inipun menjadi suatu tempat yang menarik bagi aku. Selain dari makanan berat untuk berbuka puasa, aku teringat ada jual penjan ubi kayu di sini. Bagi yang tidak biasa dengan istilah Perak ini, penjan bukan bubur atau pengat atau orang Kedah panggil serawa. Penjan ialah ubi rebus yang dimasak dengan gula merah atau gula melaka. Air gula semata tanpa santan. Kalau bersantan tu dah jadi pengatlah pulak.
Di sini ubi kayu tu dipotong besar supaya mudah dijual dengan harga seringit seketul
Di Queensbay juga aku belajar kenal air ketum tetapi aku cuma tahu itu air ketum setelah aku tidak lagi duduk di Penang. Bila aku sebut aku belajar kenal, bukan bermakna aku terlibat meminumnya tetapi melihat orang meminumnya dan ironinya ia dihidangkan kepada jemaah surau selepas Maghrib sementara menanti Isya.
Harus difahami, ini bukanlah jamuan rasmi. Nanti kata aku buat fitnah pula. Tetapi ada jemaah yang menyediakannya dan berkongsi minum dengan jemaah yang lain sambil lepak-lepak di luar surau.
Masa itu aku tertanya-tanya apa airnya itu ? Tapi rasanya mereka tak jawab. Ada juga yang nak bagi aku rasa tetapi aku menolaknya dengan berkata " tak apalah".
Mengakhiri ingatan aku semasa bekerja di Syarikat kecil ini ialah perjalanan dan pemanduan yang aku lakukan yang aku kira payah juga sesiapa yang muda atau sebaya dengan aku nak chalange aku. Bos aku yang usianya hampir sepuluh tahun muda dari aku hanya jadi penumpang sahaja. Bukanlah kerana dia bersikap aku bos tetapi kerana ketidaksanggupan atau memang ada orang yang malas memandu.
Suatu hari, sebelum atau sesudah subuh ( aku kurang pasti . Dah tak berapa ingat ) aku memandu dari Bayan Baru ke Sungai Besar, Selangor. Selesai urusan di Sungai Besar, bergerak pula ke Kuala Lumpur di beberapa Damansara. Selesai di Damansara, bergerak ke Kuantan, Pahang. Selesai urusan di Kuantan bergerak pula ke Johor dan sampai di Sekudai pada pukul 4.00 pagi. Maknanya aku memandu dari Subuh ke Subuh walaupun adalah berhentinya.
Sempat landing sejam dua sahaja di hotel budget. Paginya ada event di Sekudai dan lepas itu bergerak pula ke Kota Tinggi dan kemudian ke Johor Bahru sebelum berpatah balik ke Penang.
Sorrylah cerita perjalanan ini lari sedikit dari cerita makanan di awal tadi. Tapi makanan yang disediakan oleh guru tuisyen di Kota Tinggi mengujakan aku. Nasi Ayam Special resepi keluarga. Aku bukan penggemar nasi ayam tetapi nasi ayam ini aku suka kerana ayamnya diperap macam perap sate dan dimasak betul - betul dan meratah ayamnya sudah cukup menyelerakan. Mana ada orang ratah ayam untuk nasi ayam? Betul tak? Bukan masak sangat pun. Kengkadang merah lagi nampak kesan darah.
Oklah. Sekian kenangan agak tak berfokus kali ini. Puncanya kerana aku teringat dan rindu pada roti canai banjir Kg. Jawa.
Apa khabar bos aku tu? Lama tak bertanya khabar.
No comments:
Post a Comment