20/12/2018
Tadi ketika turun kereta untuk solat Asar di surau berhampiran, surau Al Mustakimah Taman Jaya, hati terus teringat seorang kenalan yang dulu bertugas di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jalan Duta Kuala Lumpur.
Hati tertanya-tanya juga bagaimana kali ini aku boleh ingat dengan begitu pasti namanya Haji Ismail , sedangkan pernah juga minda aku tak dapat mengingat namanya dengan pasti beberapa tahun silam ketika menanyakan tentang dirinya.
Sebenarnya, aku kenal dengannya ketika aku memegang tanggungjawab sebagai Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Selalulah bertemu dalam mesyuarat-mesyuarat, bengkel-bengkel, seminar-seminar dan urusan yang berkaitan antara LPM dan JPN. Begitulah perkenalan kami.
Aku bersara tahun 2004. Aku bertemu kembalinya dengannya beberapa tahun kemudian ketika aku singgah di surau itu. Dan adalah jumpa beberapa kali lagi bila aku bersolat di situ atau sesekali bertemu di Pusat Komuniti Bandar Tun Razak. Kemudian aku tidak pernah bertemu lagi dengannya setiap kali aku menumpang solat di situ.
Suatu hari terbedik hati untuk bertanya. Masa itu memang aku tidak ingat langsung namanya. Melalui butiran yang aku berikan, dapatlah aku jawapannya. Orang yang aku tanya memaklumkan beliau yakni Hj Ismail, kena stroke dan ada masalah buah pinggang dan dia sudah tidak mampu datang berjemaah ke surau lagi.
Ada aku tanam niat untuk mencarinya di rumahnya sebagaimana yang digambarkan lokasinya kepada aku. Namun aku tidak melaksanakan hasrat aku.
Tadi selepas solat, sama seperti beberapa tahun silam, aku bertanya lagi tentang beliau kepada jemaah yang beriringan keluar surau denganku.
Oleh kerana aku dengan pasti menyebut namanya Hj. Ismail, teruslah aku dapat jawapan yang segera.
Mengejutkan jawapan yang aku terima. Beliau baru sahaja meninggal hari Selasa lepas. Innalillahiwainnalillahirajiun. Allahyarham sudah tiada rupanya. Ku sedekahkan bacaan Al Fatihah buat Allahyarham.
Lalu aku pantas teringat amalan dan pesananku kepada anak-anak dan rakan-rakan iaitu, apabila kita teringat sangat dan rindu kepada ibu bapa kita, adik beradik kita, sahabat baik kita, pergilah temui mereka. Jangan bertangguh. Tidak guna lagi ungkapan :
Kalaulah aku balik minggu lepas
Kalaulah masa emak call aku aku segera balik
dan lain-lain ungkapan penyesalan.
Sesalan sudah tidak memberi faedah lagi.
Berbalik kepada cerita Allahyarham, mungkin ada yang bertanya, kenapa aku tidak patuh kepada amalan dan pesanan aku sendiri. Jawapan yang mampu aku beri , mungkinlah hubungan kami tidaklah mencapai tahap sahabat yang terasa amat rindu bila tidak bersua. Namun jauh di sudut hati ini, terasa jugalah pemergiaannya yang aku tidak jangka.
No comments:
Post a Comment