Hari ini *31/12/2018.* Hari terakhir tahun 2018. Setahun sudah berlalu. Setahun lagi usia bertambah. Sebenarnya pertambahan usia juga bermaksud pengurangan hayat yang masih berbaki.
Walaupun kita tidak tahu berapa tahun lagi usia kita berbaki, tetapi kita harus tahu baki usia kita semakin kurang dari setahun ke setahun.
Satu ketika, ketika masih di awal dan di pertengahan usia, mungkin kita boleh bermain dengan kata-kata , " _*25 tahun, 35 tahun, 40 tahun cuma suatu angka*_ ". Lebih kurang maksudnya, tiada kesan besar angka-angka itu pada kehidupan kita ketika itu. Hatta hingga usia 50 tahun, kita masih boleh berkata dan merasa, " _*ah baru 50 tahun*_".
Saya pun berasa begitu dulu. Hingga usia 60 tahun pun masih terasa selamat dan mampu berkata , baru 60 tahun.
Tapi bila dari 60 itu angka terus bertambah dan bertambah, perasaan sudah menjadi lain apatah lagi bila melepasi 65 tahun. . " _*Eh dah 68 usia aku. Dekat nak 70 oo*_ ". Dan bila capai 69 walau masih mampu pujuk diri dengan berkata belum 70 tahun lagi , tetapi keyakinannya sudah lain. Rasa tidak yakin boleh pergi lagi jauh sudah mula terasa. Bila capai 70 tahun dan hari ke hari melepasinya, semakin tidak yakin boleh capai usia lebih panjang.
Jadi angka sudah mula memberi erti kepada kehidupan kita. Tidak boleh lagi berkata *apa ada dengan angka.*?
Memang ada yang berusia melebihi 90 tahun macam PM kita, tetapi jumlahnya amat sedikit. Memang ada member-member masjid yang lebih 80 tahun tetapi cuma seorang berdua. Selebihnya samada kelihatan tua atau kelihatan muda dari saya , memang di bawah usia 70 tahun. 70 tahun sudah terasa masuk *waktu kecemasan* Itu yang saya rasa. Mungkin orang lain tidak. Ada rasa gentar meniti hari hari yang mendatang.
Memang sering disebut dan begitulah lumrah, bahawa kematian tidak mengira usia, tetapi kalau dah melepasi usia 70 tahun itu, berapa lama lagi anda yakin , anda masih bertahan?
Pada saya yang tidak mempunyai latar belakang agama yang tinggi, tidak berani bercakap tentang hukum-hukum berkaitan dengan kesediaan atau ketakutan menghadapi kematian. Akan tetapi saya berpendapat begini. Sama seperti menghadapi peperiksaan, anda berani dan bersedia menghadapinya bila anda telah cukup persediaan dan anda amat pasti akan lulus dengan cemerlang. Bagi yang persediaannya belum mantap, banyak lompong-lompong yang belum dipenuhi, perasaan takut menghadapi peperiksaan tentunya ada.
Bila anda tambah dengan membayangkan detik-detik terakhir anda menghadapi sakaratul.maut, bagaimana jenazah anda diuruskan? , siapa yang menguruskan?, bagaimana suasana dalam keluarga ketika itu dan lain-lain, rasanya gementar itu tetap terasa.
Begitulah saya. Tidak tahulah perasaan anda.
No comments:
Post a Comment